PRU15: Jangan Silap Memilih Calon, Jika Tidak Masa Depan Gelap

JUMAAT, 18 NOVEMBER 2022

NIAH: Rakyat di kawasan Niah ini tidak harus memperjudikan masa depan apabila silap memilih calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini. 

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menampilkan calon Datuk Seri Tiong King Sing di Parlimen Bintulu. 

Katanya, beliau telah mempunyai rekod yang baik sepanjang 20 tahun menerajui kawasan Parlimen Bintulu yang mana rakyat harus menghargai jasa serta pengorbanannya terhadap rakyat di kawasan jagaannya.

“Rakyat harus berfikir panjang agar tidak melepaskan calon GPS ini dan mengundi calon lain yang belum tentu diketahui keupayaan mereka untuk memimpin,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Program Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) bertempat di Rumah Lawrence Bana, Suai di sini pada Khamis. 

Mengulas lanjut, trek rekod yang baik Datuk Seri Tiong di Parlimen Bintulu ini tidak mampu ditandingi calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan calon dari Perikatan Nasional (PN). 

Ujarnya lagi, rakyat di negeri ini tidak memerlukan parti dari Semenanjung bagi mentadbir negeri ini kerana Sarawak sudah mempunyai GPS yang merupakan satu-satunya parti tempatan yang memahami kehendak serta aspirasi rakyat Sarawak.

“Salah seorang daripada calon parti lawan pernah cuba untuk bertanding melawan saya di Kemena dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas, namun akhirnya menyatakan sokongan terhadap GPS,” ujarnya.

Ini memperlihatkan beliau tidak mempunyai pendirian dan tidak yakin terhadap diri sendiri yang mana perjuangan sebagai wakil rakyat akan jauh lebih mencabar sekiraya menang dalam pilihan raya.

Justeru itu katanya, rakyat di kawasan Suai harus mengundi secara  bijak dengan memilih calon yang benar-benar komited serta berkaliber dalam menjalankan tugas supaya dapat membawa suara rakyat di dewan parlimen.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Edwin Abit, Pemangku Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Jenny Banga, Pegawai Tadbir Sarawak, Niah Philip Abing, Pegawai Pertanian Bahagian Miri Hafriz Razak dan Tuai Rumah Lawrance Bana.-EDISI UKAS

add comment