URDA Bawa Kemajuan Di Kapit

JUMAAT, 18 NOVEMBER 2022

KAPIT: Pelbagai projek pembangunan yang telah mahupun sedang dijalankan di Kapit melalui Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) membawa kemajuan kepada kawasan di Kapit, jelas Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Kapit, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, projek jalan bagi menghubungkan kawasan bandar dengan kawasan pendalaman telah banyak membawa kepada pembangunan dari segi infrastruktur.

“Saya bukan saja gembira dapat bertemu dengan semua yang datang pada malam ini. Malah turut berpuas hati juga kerana dapat mendengar keluhan permasalahan dan pandangan daripada ketua-ketua masyarakat yang hadir dan berucap pada malam ini.

“Sebagai seorang wakil rakyat, dengan sedaya upaya saya juga untuk membawa dan memenuhi apa yang diperlukan oleh rakyat semua.

“Oleh sebab itu, bukan saya sahaja malah semua wakil rakyat di sini khususnya di Kapit akan bekerjasama demi untuk memenuhi keperluan dan demi kesejahteraan rakyat semua,” katanya semasa berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Jampong, Sungai Banyau, Kapit pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar semua masyarakat berbilang bangsa dan agama tetap memberikan sokongan yang tinggi kepada GPS supaya menang besar dalam pilihanraya kali ini demi kesejahteraan semua.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang. – EDISI UKAS

add comment