Calon GPS Di Parlimen Miri Jeffrey Phang Bersama 3 ADUN Selesai Membuang Undi

SABTU, 19 NOVEMBER 2022

MIRI: Keadaan cuaca mendung dan hujan renyai-renyai di Parlimen Miri tidak menghalang orang ramai dan pengundi hadir menunaikan tanggungjawab mereka seawal jam 7:00 pagi lagi.

Turut tidak ketinggalan, pengundi yang positif COVID-19 yang turun mengundi dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Miri Jeffrey Phang Siaw Foong dan isteri tiba di Pusat Pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung San, Jalan Riam tepat jam 7:30 pagi. 

Kehadiran beliau diiringi bersama Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 1 (Pelancongan) yang juga merupakan ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan ADUN Pujut Datuk Bandar Adam Yii Siew Sang serta penyokong-penyokong GPS.

Selepas membuang undi di SJKC Chung San, Jeffrey Phang kemudiannya menemani Dato Sri Lee ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru bagi menunaikan tanggungjawab mengundi dan begitu juga Datuk Sebastian Ting di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang dan Adam Yii di SMK Dato Permaisuri. 

Parlimen Miri mempunyai jumlah pengundi paling ramai di Sarawak iaitu sebanyak 143,229 orang dengan 38 buah pusat mengundi. 

Kesemua pusat pengundi akan ditutup pada jam 5:30 petang dengan hanya dua Pusat Mengundi iaitu Sekolah Rendah Agama Rakyat Miri (Madrasah As-Syibyan) dan Rumah Dok Sungai Teniku Miri yang akan ditutup pada jam 4:00 petang nanti.-EDISI UKAS

add comment