SABTU, 19 NOVEMBER 2022
KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parlimen Stampin, Lo Khere Chiang tiba jam 9.30 pagi bagi menunaikan tanggungangjawab beliau bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) di Sekolah Kebangsaan (SK) Garland Batu Kawa, pada Sabtu.
Semasa ditemui media, katanya, beliau telah menghubungi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pusat mengundi berkenaan untuk membuka pintu hadapan sekolah supaya memudahkan laluan keluar masuk para pengundi di kawasan itu.
“Saya telah menghubungi pihak SPR untuk membuka laluan hadapan sekolah.
“Hal ini kerana, laluan yang dibuka hanya pada pintu belakang sekolah sahaja, dan saya telah menghubungi penyelia pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Garland, Batu Kawa untuk membuka laluan hadapan sekolah bagi memudahkan kelancaran proses mengundi,” katanya
Sementara itu, para pengundi yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sudah mula beratur sebelum jam 7.30 pagi lagi.
Di pusat mengundi SK Garland Batu Kawa, sebanyak 9 Saluran Mengundi dibuka dari jam 7.30 pagi sehingga jam 5 petang bagi kelancaran proses pengundian untuk 5238 pengundi berdaftar.
Turut hadir kelihatan membuang undi pada pagi itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap dan Pemangku Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon. -EDISI UKAS