Kawasan Merapok Akan Terus Dibangunkan – Datuk Amar Awang Tengah

SABTU, 19 NOVEMBER 2022

LAWAS: Kerajaan Sarawak akan terus membangunkan kawasan Merapok ini biarpun ia terletak di kawasan sempadan Sabah.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, rancangan pembinaan ‘coastal highway’ akan dibina dari sini terus ke Sabah.    

“Selain ‘coastal highway, Kerajaan Sarawak juga akan mempertingkatkan kemudahan CIQ dalam mengawal keselamatan sempadan. 

“Kerajaan Sarawak juga akan membina kem tentera dan merancang kawasan ini sebagai kawasan perniagaan dan persinggahan. 

“Turut dicadangkan pembangunan perumahan, mengadakan Pusat Pertanian Komersial Merapok dan meningkatkan bekalan air,” katanya.

Beliau berucap semasa merasmikan Penutupan Program Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia di Dewan Kampung Bangkatan di sini pada Jumaat. 

Mengulas lanjut, kerajaan juga akan membina menara telekomunikasi di sini bagi meningkatkan perkhidmatan internet di Merapok ini. 

“Kerajaan Persekutuan telah memberi laptop dalam program Peranti Siswa. Ini adalah satu program yang begitu bagus sekali,” ujarnya. 

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau menggesa pengundi yang berdaftar turun menunaikan tanggungjawab mereka dalam memilih calon bagi Parlimen Lawas kali ini. 

Pilihan yang bijak berada di tangan anda dan pilih dengan waras calon yang boleh mewakili rakyat Sarawak khususnya di kawasan Parlimen Lawas.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas  Ladin Atok, Timbalan Pengarah Ketua Cawangan Miri yang mewakili Pengarah Negeri Sarawak Suruhanjaya komunikasi dan multimedia Malaysia (MCMC) Fadzlida Hanim Abdul Razak, Setiausaha Politik Premier Sarawak Kaunselor Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa, Penghulu Johara Akim dan Ketua Kampung Merangkap Pengerusi PEDI Merapok Awangku Ahmad Pengiran Abu Bakar.-EDISI UKAS

add comment