PRU-15: ADUN Saribas Buang Undi Di SK Datuk Bandar

SABTU, 19 NOVEMBER 2022

SARIBAS: Para pengundi bagi kerusi Parlimen Betong mula menunaikan tanggungjawab mereka dengan membuang undi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar, Debak seawal jam 7.30 pagi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam tiba di pusat pengundian sekitar jam 7.30 pagi untuk mengundi di Saluran 2. 

Parlimen Betong menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Dr. Richard Rapu (GPS), Patrick Kamis (PH) dan Hasbie Satar (BEBAS). 

Parlimen Betong mempunyai seramai 41,743 pengundi berdaftar di mana 16,400 adalah pengundi daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas. 

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan mendapati, rata-rata pengundi yang hadir dan menunggu giliran di pusat pengundian dengan lengkap memakai pelitup muka serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR). 

Sehingga jam 9 pagi, proses pengundian telah berjalan dengan lancar dan cuaca dilihat cerah. 

SK Datuk Bandar Debak dijangka akan menamatkan proses pengundian sehingga jam 4 petang. – EDISI UKAS

add comment