PRU-15: GPS Menang Besar Di Betong

SABTU, 19 NOVEMBER 2022

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima mandat penuh menerajui kepimpinan dan membawa suara rakyat bagi Parlimen Betong apabila calonnya, Dr. Richard Rapu menang dengan majoriti 11,302 undi mengatasi calon Pakatan Harapan (PH) dan Calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Dr. Richard yang menngantikan penyandangnya, Datuk Robert Lawson Chuat menang bergaya dengan 16,479 undi menewaskan calon PH, Patrick Kamis @ Kameng  (5,177) dan Calon Bebas Hasbi Satar (5,057). 

Kemenangan itu juga menepati ramalan terhadap kemampuan GPS untuk mendapat kemenangan selesa yang mendapat majoriti 11,302 undi. 

Semasa pengumuman, calon GPS diwakili oleh tetamu kehormat iaitu Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Dato Gerald Rentap Jabu. 

Turut hadir, Pengarah PRU15 GPS Parlimen Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat.

Beliau adalah penyandang kerusi parlimen ini dan mengambil keputusan untuk tidak lagi bertanding bagi memberi laluan kepada muka baru iaitu Dr. Richard Rapu. 

Pengumuman rasmi keputusan berkenaan dibuat Pegawai Pengurus Alfred Geling Ason di pusat penjumlahan undi di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong. 

Dalam masa yang sama, barisan tiga ADUN yang berkerja kuat sepanjang tempoh berkempen membawa kemenangan mudah kepada parti GPS pada PRU15 kali ini. 

Sekitar 65.25 peratus daripada 41,743 keseluruhan pengundi berdaftar yang merangkumi 27,141 pengundi di Parlimen Betong telah menunaikan tanggungjawab masing-masing mengundi bagi memilih wakil rakyat yang akan membawa suara rakyat Betong khasnya dan Sarawak amnya di Parlimen.-EDISI UKAS

add comment