AHAD, 20 NOVEMBER 2022
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberikan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagaimanapun berkata keputusan untuk melantik siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri hanya akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Isnin.
“Pada tahap situasi politik kita sekarang, semua harus mengetepikan pandangan masing-masing ini kerana pembentukan kerajaan adalah lebih penting.
“PN+BN+GPS+GRS (blok borneo) akan menyokong apabila jumlah/angka sudah keluar dengan rasminya. Kita sokong itulah misi kita,” katanya.
Beliau berkata demkian dalam sidang media khas sejurus selepas mempengerusikan pra-persidangan Dewan Undangan Negerj (DUN) di Ibu Pejabat PBB Jalan Bako Petra Jaya Kuching di sini pada Ahad.
Ditanya adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan apa-apa kepada GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menjelaskan, itu kemudian dibincangkan kerana ini bukan soal tawar menawar.
“Paling penting adalah negara dan rakyat sekarang. Rakyat dah bagi mandat dan kerja kita adalah untuk menubuhkan kerajaan berasaskan mandat yang sudah diterima.
“Segala tawaran (TPM) atau apa nantilah. Rakyat lebih penting. Tahun depan kita akan mengalami inflasi.
“Jadi GPS kita utamakan rakyat, utamakan kepentingan Sarawak,” jelasnya.-EDISI UKAS