Belanjawan Sarawak 2023: Capai Kesejahteraan Ekonomi Agenda Utama Pada Tahun 2023

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Belanjawan Sarawak 2023 bertemakan ‘Sarawak Didahulukan: Ke Arah Masyarakat Yang Inklusif, Makmur dan Harmoni” yang dibentangkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin bukan sekadar rancangan fiskal untuk tahun 2023, tetapi juga demi masa depan Sarawak. 

Untuk itu, beliau telah mengetengahkan 11 Teras Strategik yang akan menjadikan Sarawak lebih selamat, lebih terjamin, lebih berdaya tahan dan lebih makmur ke arah mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030. 

Teras Strategik Pertama ialah Mencapai Kesejahteraan Ekonomi yang mempunyai lima inisiatif iaitu mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan, membina lebih banyak perumahan mampu milik, mempergiatkan program pembaharuan bandar, meningkatkan peluang pemilikan rumah dan menyediakan bantuan penyewaan dan pembaikan rumah. 

Jelas beliau, bagi inisiatif pertama, iaitu mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan, Sarawak akan melaksanakan pelbagai Projek Rakyat.

“Antara Program Transformasi Luar Bandar dengan peruntukan RM420 juta, Projek Rakyat dengan peruntukan RM500 juta dan projek khas dikenali sebagai Projek Luar Bandar Kecil (MRP) dengan peruntukan RM237 juta,” katanya. 

Beliau berucap ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Sarawak 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Tambah Premier Sarawak lagi, Sarawak juga membina lebih banyak perumahan mampu milik dengan menyediakan kira-kira RM52 juta pada 2023 untuk pelaksanaan 21 projek rumah mampu milik di Kuching, Serian, Betong, Sibu, Mukah dan Miri.

Turut sedang dan akan dilaksanakan ialah mempergiatkan program Pembaharuan Bandar antaranya seperti Pembangunan Semula Darul Hana, Projek Perumahan Sungai Bedaun, Pembangunan Semula Kampung Tabuan Melayu, Pembangunan Semula Kampung Datu Sibu dan Pembangunan Perumahan Mampu Milik Kemuyang, Sibu.

Begitu juga Pembangunan Semula Kampung Baru Kapit Pembangunan Jepak Jaya, Pembangunan Semula Semariang Pinggir, Pembangunan Semula Kampung Wireless Miri, Bandar Baru Nangka Sibu dan Pembangunan Padang Kerbau/Lopeng Miri.

Pada 2023, sejumlah RM42.5 juta akan disediakan untuk mempergiatkan pelaksanaan projek-projek pembaharuan bandar ini.

Ujar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru, Kerajaan Sarawak akan menjadikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Skim Pinjaman Rumah Panjang yang menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM30,000 sepintu dalam bentuk bahan binaan untuk komuniti rumah panjang membina atau membaiki unit mereka,” ujarnya. 

Turut disediakan RM40 juta bagi Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) yang akan memanfaatkan 4,000 pembeli rumah dan pembiayaan akhir pembeli rumah. 

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak juga menyediakan bantuan penyewaan dan pembaikan rumah menerusi peruntukan RM48 juta di bawah Skim Bantuan Sewa Sarawak (SRAS) dan juga memperuntukan RM80 juta bagi membantu golongan B40 membaiki rumah usang mereka Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS). -EDISI UKAS

add comment