Belanjawan Sarawak 2023: Kerajaan Sarawak Terus Kukuhkan Perkhidmatan Awam

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Pelaksanaan pemantapan pelbagai inisiatif, program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memerlukan tenaga kerja perkhidmatan awam Sarawak yang cekap dan berdedikasi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata sejumlah RM27 juta diperuntukkan untuk pembinaan kapasiti tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan awam Sarawak bagi memudahkan mereka sebagai pemboleh perubahan dan transformasi.

Katanya lagi, turut diberikan penekanan ialah perkhidmatan Kerajaan Sarawak yang lebih mudah diakses dan mesra digital.

Mengulas lanjut, dengan adanya pengurusan bakat melalui pelaksanaan pelbagai program Latihan, Pendidikan Dan Pembangunan (TED) untuk membantu penjawat awam memanfaatkan kemahiran dalam menyampaikan perkhidmatan bertaraf dunia.

Ujar Premier Sarawak, turut diperkenal Inisiatif Kesejahteraan Pekerja (SCS) dalam meningkatkan prestasi dan produktiviti kerja serta menstrukturkan semula perkhidmatan awam Sarawak untuk memenuhi matlamat PCDS 2030.

“Kerajaan Sarawak juga komited untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif untuk kesejahteraan SCS. Pada 2023, sejumlah RM28 juta akan diperuntukkan untuk penyelenggaraan bangunan Kerajaan Negeri termasuk pejabat dan kuarters, khususnya di kawasan luar bandar, dan tambahan Rm167 juta untuk menaik taraf bangunan sedia ada dan pembinaan baharu,” beliau berucap ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Sarawak 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Dalam memperkukuhkan integriti dalam kalangan perkhidmatan awam dan masyarakat sivil, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari melaksanakan pelbagai inisiatif dan program di bawah pelan pencegahan rasuah seperti Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi (OACP) dan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) serta mengadakan kursus integriti khas untuk SCS.

Dalam memastikan keselamatan rakyat Sarawak sentiasa dipelihara khususnya di sempadan, beliau juga mengumumkan penambahan lebih ramai pasukan gerakan am Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan anggota tentera terutamanya di kawasan ‘hotspot’ pergerakan pendatang tanpa izin dengan inisiatif keselamatan dalam melengkapkan agensi penguatkuasaan sempadan Sarawak dengan kelengkapan bagi memudahkkan pasukan.

Di samping itu, turut ditubuhkan Sarawak Coastguard (SCG) dan Immune Belt Enforcement Team (IBET) bagi melindungan wilayah pantai dan pelantar untuk menangani pencerobohan kapal nelayan asing dan tempatan sekaligus melindungi sumber marin.

Di bawah RMK-12, kerajaan telah memperuntukan RM388 juta bagi pembelian aset dan pembinaan kompleks pejabat unit keselamatan dan penguatkuasaan Sarawak di Sejingkat, Tanjung Manis, Bintulu dan Lawas manakala pada tahun 2023 RM23 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini.-EDISI UKAS

add comment