Belanjawan Sarawak 2023: Sarawak Dijangka Pungut Hasil RM11.035 Bilion Pada 2023

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak dijangka memungut hasil sebanyak RM11.035 bilion pada tahun depan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg  berkata, hasil berkenaan diperoleh daripada hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil serta pemberian dan bayaran balik Persekutuan.

Katanya, ia merupakan hasil tertinggi yang pernah diunjurkan setakat ini yang mencerminkan pencapaian relatif Kerajaan dalam meningkatkan tabung negeri ini.

“Pendapatan diperoleh daripada Hasil Cukai berjumlah RM5.246 bilion atau 48 peratus daripada jumlah hasil yang dijangkakan pada 2023 terdiri daripada RM4.195 bilion daripada Cukai Jualan Negeri di mana RM3.2 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain; RM850 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirong sawit mentah; RM60 juta daripada loteri, RM60 juta daripada produk aluminium, RM22 juta daripada arang batu manakala baki RM3 juta daripada tayar; RM550 juta daripada royalti air mentah; RM287 juta daripada royalti hutan, premium kayu dan tarif; dan RM214 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain.

“Sumber seterusnya ialah daripada Hasil Bukan Cukai yang dianggarkan berjumlah RM5.498 bilion atau 50 peratus terutamanya diperoleh daripada sumber utama berikut iaitu RM2.335 bilion daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas; RM1.864 bilion daripada pendapatan dividen; RM650 juta daripada pendapatan faedah; RM400 juta daripada premium tanah; RM120 juta daripada pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum; dan RM129 juta daripada pihak lain, termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewa.

“Pendapatan berikutnya pula ialah Terimaan Bukan Hasil, yang dijangka berjumlah RM26 juta terutamanya daripada deposit tidak dituntut, lebihan bayaran diperoleh semula, ganti rugi dan penalti yang dipastikan dibubarkan, ganti rugi dibubarkan hutan, kompaun lain, dan pelupusan kenderaan.

“Sumber pendapatan seterusnya ialah Pemberian dan Bayaran Balik Persekutuan dijangka berjumlah RM265 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Sarawak 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru itu menambah, sejumlah RM10.797 bilion dianggarkan untuk Belanjawan 2023 yang mana RM3.997 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus manakala sejumlah RM6.8 bilion adalah untuk peruntukan Akaun Kumpulan Wang Pembangunan bagi membiayai pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan.

“Perbelanjaan Mengurus yang dianggarkan sebanyak RM3.997 bilion pada 2023 terdiri daripada RM938 juta atau 24 peratus untuk emolumen kakitangan; RM1.508 bilion atau 38 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan; RM1.343 bilion atau 34 peratus untuk geran dan bayaran tetap; yang termasuk geran operasi kepada Badan Berkanun dan pihak berkuasa tempatan, membayar hutang awam dan pembayaran ganjaran, pencen, biasiswa, termasuk bantuan kewangan dan kebajikan; RM90 juta untuk perolehan aset; dan RM118 juta untuk perbelanjaan mengurus lain,”jelas beliau lagi.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, Belanjawan Negeri 2023 dijangka menjana lebihan sebanyak RM238 juta dan akan terus menjadi belanjawan pengembangan yang banyak melabur dalam infrastruktur dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai terasnya.

Premier Sarawak memaklumkan, Belanjawan Sarawak 2023 akan terus menjadi bajet berorientasikan pembangunan dan berfokuskan luar bandar dengan sejumlah RM7.506 bilion dicadangkan di bawah Anggaran Perbelanjaan Pembangunan untuk 2023 di mana RM4.540 bilion atau 60 peratus adalah untuk pembangunan di kawasan luar bandar.

“Anggaran ini telah mengambil kira antara lain Komitmen kami untuk menyelesaikan pelaksanaan pelbagai projek yang sedang dijalankan; Keupayaan kami untuk melaksanakan projek sepanjang tahun; dan Keutamaan kami untuk melaksanakan projek pemangkin, berimpak tinggi dan mengutamakan rakyat.

“Dalam hal ini, kami akan memperkenalkan Rangka Kerja Pengurusan Nilai dalam proses kami merancang, menilai dan melaksanakan projek dengan ambang tertentu.

“Di bawah rangka kerja ini, pelbagai pihak berkepentingan utama hendaklah terlibat dalam memperoleh dan mencapai keputusan tentang keseimbangan optimum faedah projek berbanding kos dan risiko projek,”ujar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari.-Edisi UKAS

add comment