Belanjawan Sarawak 2023: Sarawak Komited Percepatkan Pertumbuhan Ekonominya

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited mempercepatkan pertumbuhan ekonominya dengan memberi lebih penekankan kepada pembangunan infrastruktur.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, untuk itu Kerajaan Sarawak akan memperuntukan  RM1.12 bilion untuk mempergiatkan pembangunan infrastruktur dan memastikan integrasi ekonomi bandar dan luar bandar yang lebih besar seperti jalan raya dan jambatan, pelabuhan, dan infrastruktur sungai khususnya di kawasan luar bandar.

Kerajaan Sarawak juga akan memastikan pembangunan akan sampai ke setiap pelusuk negeri dengan memanfaatkan potensi ekonomi tempatannya.

“Justeru, tiga agensi pembangunan wilayah baharu telah diwujudkan iaitu Agensi Pembangunan Terkoordinasi Greater Kuching (GKCDA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), selain lima lagi agensi pembangunan wilayah yang telah telah ditubuhkan lebih awal,” katanya. 

Beliau berucap ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Sarawak 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Tambah Premier Sarawak, sebanyak RM26 juta diperuntukan untuk projek bekalan elektrik pada tahun 2023 dan RM125 juta lagi untuk pelaksanaan projek bekalan air. 

Manakala, RM900 juta lagi untuk melaksanakan Program Grid Bekalan Air Sarawak untuk kawasan yang mempunyai tekanan rendah yang dibiayai melalui Inisiatif Pembiayaan Alternatif. 

Dalam memastikan ekonomi Sarawak terus meningkat pada tahun depan,  Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu Kerajaan Sarawak akan terus membangunkan kawasan perindustrian dan premis perniagaan di negeri ini. 

“Oleh itu, kita akan memperuntukkan sejumlah RM65 juta pada 2023 untuk pembangunan taman perindustrian di Kuching, Sibu, Sri Aman, Miri, dan Limbang; dan Projek Anjung Usahawan di Samarahan, Betong, Sri Aman, Sarikei, Mukah, Kapit, Miri dan Limbang,” ujarnya. 

Katanya lagi, Sarawak juga meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi Penggubalan Dasar Perlombongan Negeri dan Rangka Tindakan dan RM3 juta lagi bagi membangunkan Pemetaan Geologi. 

Tidak ketinggalan, industri pelancongan Sarawak akan terus diperkasa pada tahun 2023 dengan memberi fokus kepada mempromosikan pelancongan secara agresif dengan meningkatkan perhubungan udara, membangun dan menaiktaraf produk dan kemudahan pelancongan, memperbanyakan penganjuran acara dan perayaan, menjenamakan semula dan mempromosikan kraftangan, membangunkan Zon Pelaburan Pelancongan Sarawak dan mempergiatkan promosi pelancongan. -EDISI UKAS

add comment