Belanjawan Sarawak 2023: Sarawak Terus Galakkan Pelaburan Dan Bangunkan Perusahaan

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Dalam memastikan ekonomi Sarawak terus berdaya saing dan mampan pada tahun 2023, Kerajaan Sarawak akan terus menggalakkan pelaburan yang akan memacu produktiviti, mewujudkan pekerjaan, dan menjana pendapatan negeri. 

Untuk itu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak menawarkan banyak kelebihan daya saing seperti tanah perindustrian sedia, harga elektrik yang kompetitif dan tenaga kerja yang berpendidikan.

“Dalam hal ini, kami telah menubuhkan InvestSarawak untuk mempromosikan Sarawak secara global ke arah menarik pelaburan langsung asing. 

“Sejumlah RM7 juta akan diperuntukkan kepada InvestSarawak pada 2023,” katanya. 

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, Kerajaan Sarawak juga akan terus menyediakan platform kepada usahawan muda di negeri ini untuk menjadi usahawan berjaya pada masa akan datang. 

Jelasnya, pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan di bawah Bajet 2023 yang memastikan kesinambungan perniagaan antara lain, pemberian pinjaman mudah, subsidi faedah, bantuan kewangan untuk permulaan, pembangunan produk, pembinaan kapasiti, e-Dagang dan promosi dan pemasaran. 

“Tabung Bantuan Khas, Kemudahan Bantuan & Pemulihan Bersasar (TRRF) dan Tabung Pelancongan PENJANA (PTF) dengan peruntukan RM18 juta, Skim Kredit Mikro Sarawak dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dengan peruntukan RM14 juta, Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan Transformasi Usahawan Desa Sarawak dengan peruntukan RM7 juta untuk membantu graduan, lepasan sekolah, dan usahawan luar bandar dengan kemahiran teknikal untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka; dan Program Go Digital dengan peruntukan RM5 juta untuk membangunkan PKS yang celik digital dan membantu mereka memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui e-dagang,” jelasnya.-EDISI UKAS

add comment