Belanjawan Sarawak 2023: Sarawak Tubuh R&D Serta Inovasi, Pacu Pertumbuhan Ekonomi Jangka Panjang

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat menubuhkan Pusat Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) serta inovasi dalam memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan pusat sains pada tahun 2023.

Jelas beliau lagi, ini adalah untuk meningkatkan literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar, belia dan masyarakat.

“Dalam menggalakkan R&D dan pengkomersilan produk berasaskan bio, kerajaan negeri akan menyediakan sejumlah RM2 juta untuk penubuhan Taman Industri Bio Sarawak pada tahun 2023. Projek ini akan mewujudkan ekosistem untuk inovasi dan pengkomersilan. inisiatif ini juga akan membolehkan sarawak memanfaatkan kekayaan bioteknologi global dan memanfaatkan kekayaan biodiversiti kita,”beliau berucap ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Sarawak 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.

Dalam memerangi wabak Rabies di Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu Kerajaan Sarawak akan menubuhkan pusat penyakit berjangkit Sarawak yang akan memacu pembangunan industri bio-perubatan dan bio-teknologi dan memacu pembangunan modal insan dalam sains bio-perubatan.

“Sejumlah RM191 juta telah komited untuk keseluruhan projek itu, yang mana RM20 juta dijangka dibelanjakan pada 2023. selain itu, kami akan memperuntukkan sejumlah RM8 juta kepada Majlis Penyelidikan Dan Pembangunan Sarawak untuk menyokong aktiviti R&D dan inovasinya dalam 2023,”jelasnya lagi.

Tambah beliau lagi, sebanyak RM21 juta turut diperuntukkan pada tahun 2023 untuk Pusat Biodiversiti Sarawak dalam mempromosikan R&D dalam biodiversiti.-EDISI UKAS

add comment