ISNIN, 21 NOVEMBER 2022
KUCHING: Sarawak kini jelas dilihat bakal mencapai objektifnya menjadi negeri bebas kewangan.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, Belanjawan Sarawak 2023 menunjukkan perkembangan kewangan negeri ini jauh lebih baik berbanding sebelumnya, dan percaya pencapaian ini akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.
Ujarnya lagi, ia merupakan belanjawan yang terbesar dalam sejarah Sarawak setakat ini untuk rakyatnya.
“Sekarang adalah belanjawan terbesar di negeri ini, tahun depan dan tahun-tahun seterusnya pasti akan menjadi lebih besar.
“Ini disebabkan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak sentiasa menjaga negeri ini dengan baik, seperti Allahyarham Tan Sri Adenan selalu berpesan agar jaga Sarawak baik-baik.
“Jadi, jika anda melihat dengan teliti, semua orang mendapat manfaat daripada belanjawan ini,” katanya semasa ditemui media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga menyifatkan belanjawan tersebut sangat inklusif, makmur dan harmoni untuk seluruh masyarakat di Sarawak yang mana keperluan rakyat seperti pembangunan infrastruktur, pemilikan rumah dan sebagainya amat ditekankan.
“Pembangunan infrastruktur dalam belanjawan itu bukan sahaja melibatkan air, elektrik dan jalan raya, malah ia termasuk pembangunan digital serta pembangunan bakat.
Selain itu tambah Dato Sri Dr. Sim, kerajaan Sarawak dalam beberapa tahun sebelum ini juga banyak menekankan kepada penjanaan semula pendapatan.
“Semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu melaporkan keuntungan dan memberi pulangan kepada kerajaan, yang mana kami lakukan buat kali pertama.
“Ia termasuk dasar dividen, perdagangan karbon dan hasil pendapatan daripada kerajaan persekutuan yang kesemuanya akan meningkatkan hasil Sarawak dengan ketara dalam masa terdekat,” tegasnya.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah membentangkan belanjawan Sarawak berjumlah RM11.035 bilion bagi tahun 2023. -Edisi UKAS