Kenaikan Harga Minyak, Gas Serta Minyak Sawit Mentah Dunia Tingkatkan Hasil Sarawak 2022

ISNIN, 21 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kenaikan harga minyak dan gas serta minyak Sawit mentah pada tahun 2022 telah menyebabkan hasil Sarawak meningkat pada tahun 2022. 

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada asalnya hasil negeri dianggarkan RM10.036 bilion dan disemak kembali menjadikan jumlahnya kepada RM10.159 bilion. 

“Sehingga 31 Oktober 2022, Negeri telah mengutip RM9.695 bilion atau 95 peratus daripada unjuran hasil, terutamanya disumbangkan oleh kutipan daripada cukai jualan Negeri (SST), pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas, dan pendapatan dividen.

Beliau berucap ketika membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Sarawak 2023 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin. 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut memaklumkan selaras dengan peningkatan hasil itu juga perbelanjaan Sarawak juga disemak semula dari RM10.646 bilion kepada RM10.706 bilion, peningkatan sebanyak RM60 juta atau 2.5 peratus.

“Sehingga 31 Oktober 2022, RM7.862 bilion atau 73 peratus daripada Perbelanjaan Biasa telah dibelanjakan. 

“Jumlah yang dibelanjakan terdiri daripada Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM2.912 bilion dan baki RM4.950 bilion untuk peruntukan ke Akaun Kumpulan Wang Pembangunan.

Tambah Premier Sarawak lagi, sehingga Oktober 2022, Sarawak telah membelanjakan RM5.263 bilion atau 69 peratus daripada jumlah bajet pembangunan RM7.609 bilion setakat Oktober tahun ini. 

Ujarnya lagi, dengan pembukaan semula ekonomi dan normalisasi aktiviti ekonomi, perbelanjaan dijangka terus meningkat apabila momentum pembangunan terus meningkat menjelang akhir tahun.-EDISI UKAS

add comment