Sarawak Peruntukan RM8 Bilion Sebagai Permulaan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak

SELASA, 22 NOVEMBER 2022

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan dengan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sebanyak RM8 bilion telah diperuntukan pada awal penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak.

“Peruntukan awal kepada dana ini ialah RM8 bilion dengan peruntukan tahunan sebanyak RM300 juta setahun dari tahun dua hingga tahun lima, RM550 juta setahun dari tahun enam hingga tahun 10 dan RM650 juta setahun dari tahun 11 hingga tahun 20,” katanya. 

Beliau berucap ketika membentangkan Rang Undang-Undang Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.

Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak merupakan aspirasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak dan pembentangan rang undang-undang ini membuktikan Kerajaan Sarawak telah menunaikan janjinya.

Jelas Premier Sarawak lagi, dana ini akan diagihkan ke dalam Akaun Dana Pelaburan Dana dan diuruskan dengan ketat serta dijangka berkembang secara mampan tanpa pengeluaran kecuali dalam kes peristiwa kritikal yang mungkin timbul dalam tempoh 20 tahun ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu menambah, Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak akan digunakan untuk pendidikan dan peningkatan taraf hidup rakyat Sarawak. 

“Dana ini boleh digunakan untuk tujuan pendidikan rakyat Sarawak di institusi pengajian tinggi atau institusi lain yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), peningkatan taraf hidup rakyat Sarawak berdasarkan keperluan sosio-ekonomi, pembangunan bakat, kepakaran, dan kemahiran keusahawanan rakyat Sarawak dan apa-apa tujuan lain sebagaimana yang ditentukan oleh MMKN dalam warta dan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,” tambahnya. 

Ujar beliau lagi, dana tersebut akan diuruskan secara profesional dan telus oleh ahli lembaga yang terdiri daripada pakar dan profesional dalam bidang kewangan dan pelaburan.

Seramai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdiri daripada ADUN Daro, Lingga, Balingian, Tebedu, Bawang Asan, Ba’Kelalan, Beting Maro, Pelagus, Katibas, Bukit Begunan dan Kota Sentosa telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak dan diluluskan sebulat suara. -EDISI UKAS

add comment