RABU, 23 NOVEMBER 2022
KUCHING: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) tidak bercadang untuk membina tempat letak kereta bertingkat yang baharu memandangkan kemudahan parkir sedia ada di tempat letak kereta dua tingkat dan tempat letak kereta jalan mencukupi.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr Penguang Manggil berkata ketika ini terdapat 4324 unit tempat letak kereta di Pusat Perniagaan Utama (CBD) yang mencukupi untuk menampung permintaan semasa.
Katanya, dari jumlah tersebut, sebanyak 3,500 unit telah diduduki sepenuhnya pada sebelah pagi dengan 80 peratus penghuni pada sebelah petang.
“Kadar penghunian untuk tempat letak kereta bertingkat di UTC seperti tempat letak kereta bertingkat di bandar utama yang lain biasanya penuh pada waktu pagi iaitu kira-kira 80 peratus pada sebelah petang dan antara 20 hingga 40 peratus pada waktu malam.
“Manakala kadar penghuni untuk Tempat Letak Kereta Bertingkat Wong Nai Siong ialah kira-kira 73 peratus dipenuhi setiap hari, di mana 53 peratus daripadanya adalah pemegang pas bermusim,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek berkenaan isu kekurangan tempat letak kereta di Bandar Sibu pada hari ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Bagaimanapun tambahnya, jika tempat letak kereta tambahan diperlukan, ianya boleh dimasukkan dalam cadangan program pembaharuan bandar Bukit Assek kelak.– EDISI UKAS