MTCP Sedia Geran Laksana Aktiviti Pelancongan

RABU, 23 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) mempunyai geran sokongan acara dan pesta untuk membantu para penganjur acara dan pesta menjayakan aktiviti atau acara yang berkaitan dengan pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata selain menarik kedatangan pelancong tempatan dan asing, penganjuran acara dan pesta seumpama akan dapat memberi impak positif kepada sosio-ekonomi masyarakat tempatan.

“Selain daripada itu, agensi di bawah kementerian iaitu Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) boleh membantu dalam mempromosikan acara-acara berkenaan.

“Pada tahun 2018, kementerian ini telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM10,000 untuk penganjuran acara Kabong International Kite Festival ini.

“Pihak kementerian ini akan terus menyokong mana-mana penganjuran acara dan pesta yang dilihat mampu untuk dibangunkan sehingga menjadi acara ikonik bukan sahaja di peringkat tempatan malah sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir pada hari ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Menjawab soalan tambahan, ADUN Piasau itu menambah Kabong mempunyai banyak pantai yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama di Betong seperti Pantai Tanjung Kembang, Pantai Alit dan Pantai Gerigat.

Justeru, kementerian katanya akan bekerjasama dengan Pejabat Residen dan mana-mana agensi yang berkaitan dalam menyediakan kemudahan dan prasarana yang berkaitan dengan industri bagi memberi keselesaan kepada semua pelancong di masa depan.

Tambahnya terdapat lapan aktiviti bagi merancakkan industri pelancongan di Betong iaitu Kabong International Kite Festival, Ekspedisi Bukit Sadok, Gawai Karnival Peringkat Bahagian Betong, Mountain Bike Ulu Paku, Layar Cycling, Pesta Ikan Buntal, Beting Maro Food Festival dan Pesta Saratok dan Regatta Kalaka. – EDISI UKAS

add comment