RABU, 25 NOVEMBER 2022
KUCHING: Sarawak akan memperuntukan RM47 juta untuk menyediakan pelbagai fasiliti sukan dan menaik taraf kemudahan sedia ada.
Peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada kemudahan sukan di Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu Petra Jaya, Kompleks Sukan Sebauh, Bintulu, Kompleks Sukan Mini Selangor dan menaik taraf Stadium Balingian.
Semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) 2022 pada Rabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming memuji langkah cemerlang itu yang memberi penekanan kepada pembangunan sukan dan belia khususnya untuk pembangunan dan peningkatan kemudahan sukan.
Namun begitu, beliau berharap agar kemudahan sukan awam yang sedia ada di Bintulu iaitu Stadium Dalam dan Luar Bintulu dapat diberi perhatian untuk naik taraf dan baik pulih melalui Bajet Negeri 2023.
“Saya berharap satu-satunya kemudahan sukan awam yang ada di Bintulu iaitu Stadium Dalam dan Luar Bintulu dapat diberi perhatian untuk naik taraf dan baik pulih melalui Bajet Negeri 2023.
“Terdapat ramai belia yang berbakat dalam Sukan di Bintulu contohnya Pasukan Frisbee yang menjadi Johan dalam Kejohanan Frisbee Antarabangsa Thailand baru-baru ini. Walau bagaimanapun, mereka tidak boleh menggunakan kemudahan awam untuk melakukan latihan mereka.
“Sebaliknya, mereka terpaksa membelanjakan wang untuk menyewa kemudahan swasta lain untuk berlatih,”katanya.
Oleh itu, beliau berharap dengan peruntukan yang telah dicadangkan dapat memberi kemudahan sukan yang akan memberi manfaat kepada golongan belia di Bintulu serta dapat melaksanakan pelbagai program pembangunan sukan.-EDISI UKAS