UNION Pergiat Usaha Pembudayaan Integriti Di Seluruh Sarawak

RABU, 23 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNION) akan meneruskan Program Jelajah Integriti di seluruh Sarawak termasuk di kawasan luar bandar sebagai usaha membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata sejak 2018, Kerajaan Sarawak juga telah mengadakan Program Jelajah Integriti di 39 kawasan yang berbeza termasuk di luar bandar seperti di Tebedu, Matu, Sarikei, Julau, Pakan, Pusa, Debak, Kapit, Song, Lawas, Sibu, Sebauh dan Bintulu.

“Pecahan terperinci dan jumlah peserta Jelajah Integriti adalah pada 2018 sebanyak 12 tempat melibatkan seramai 4,830 peserta, 2019 di 12 tempat seramai 4,196 peserta, 2020 di tujuh tempat seramai 1,430 peserta dan 13 tempat pada 2022 melibatkan 5,314 peserta,” katanya sambil menambah tiada program diadakan pada 2021 berikutan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Telang Usan Dennis Ngau pada hari ketiga Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Katanya, sebanyak 56 program UNION berkaitan integriti telah diadakan melibatkan seramai 54,841 peserta pada 2022.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan UNION pada 1 Februari 2018 dengan mengenalpasti lapan sektor dalam rangka pembudayaan integriti iaitu agama, sosiobudaya, pentadbiran, masyarakat sivil, komuniti, keluarga, politik dan ekonomi.

“Selaras dengan itu, pelbagai program telah dirangka dan dilaksanakan antaranya ialah Majlis Amanat Perdana Integriti, Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau, Integriti Go Nature dan Seminar Integriti Interface,” tambah Dr Juanda lagi.

Menjawab lanjut, beliau berkata kerajaan negeri berhasrat menggiatkan penglibatan orang awam dalam penyampaian perkhidmatan atau pelaksanaan projek kerajaan.

Katanya, UNION membuka ruang seluas-luasnya untuk masyarakat umum memberi pandangan yang konstruktif tentang mutu penyampaian perkhidmatan awam Sarawak.

“Platfrom ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang awam dengan menyalurkan aduan kepada pihak UNION samada secara surat bertulis, emel, whatsapp dan pelbagai cara yang akan dapat dilayan oleh pihak UNION.”

Selain itu katanya, UNION juga telah melaksanakan projek rintis Community Integrity Building (CIB) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun ini.

“Ini merupakan usaha sama UNION, Institut Integriti Malaysia (IIM), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan (MPHLG), Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Daerah Limbang (MDL) dan Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD).”

Katanya, projek CIB ini melibatkan komuniti setempat untuk memantau perkhidmatan yang disediakan oleh PBT di mana laporan penilaian keberkesanannya akan dikemukakan kepada kerajaan Sarawak pada 2 Disember 2022. – EDISI UKAS

add comment