ADUN Balingian Mohon Fasa Kedua Medan Selera Mateding

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi memohon pembinaan fasa kedua Medan Selera Mateding disegerakan.

Beliau berkata, setelah kelulusan daripada Kerajaan Sarawak, pengoperasian medan selera Mateding mendapat sambutan yang memberangsangkan.

“Terima kasih diucapkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana meluluskan Projek Medan Selera Mateding dibawah projek rakyat.

“Kini sudah beroperasi dan mendapat sambutan yang memberansangkan.

“Oleh yang demikian, saya memohon fasa kedua Medan Selera Mateding dipercepatkan pembinaan bagi memberi manfaat kepada peniaga-peniaga kecil yang berdekatan,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini pada Khamis.

Abdul Yakub turut mencadangkan agar pembinaan Village Commercial Centre (VCC) juga dilakukan di kawasan DUN Balingina bagi menggalakkan penglibatan para peniaga kecil.

“VCC dicadangkan untuk dibina di Kampung Sesok, Kampung Teh, Kampung Seberang, Kampung Sau, Kampung Penakub Ulu, Kampung Jebungan dan Kampung Seberang yang merangkumi kawasan Tutus Ulu, Sungai Alo, Kampung Litong, Kampung Bunut serta Kampung Tanjung. Ini akan menggalakkan penglibatan peniaga kecil di kawasan tersebut,”ujar beliau.

Selain isu ekonomi, beliau turut menyuarakan isu-isu lain iaitu isu alam sekitar seperti benteng hakisan; infrastruktur asas seperti sistem perparitan, jalanraya, jambatan dan jeti nelayan; utiliti seperti elektrik, bekalan air bersih dan telekomunikasi; keagamaan, pelancongan, skim penempatan semula/skim pembesaran kampung, fasiliti kesihatan, pendidikan dan geran tanah.-Edisi UKAS

add comment