Baik Pulih Stadium Tun Zaidi Agar Penduduk Sibu Terus Nikmati Sukan & Riadah

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022

KUCHING: Stadium Tun Zaidi yang kini dalam keadaan daif perlu dibaik pulih dengan segera bagi memastikan penduduk Sibu terus menikmati aktiviti sukan dan riadah di stadium.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek, stadium tersebut telah ditutup sejak pandemik COVID-19 melanda pada tahun 2020 sehingga kini.

Katanya, kemudahan sedia ada di situ yang tidak dapat berfungsi dengan baik perlu diperbaiki manakala yang rosak harus diganti baru.

Justeru, beliau berharap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan serta Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dapat mengambil perhatian segera dan menyediakan peruntukan untuk membaiki Stadium Tun Zaidi Sibu. 

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Bekalan (2023) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis. 

Menyentuh mengenai Belanjawan Sarawak 2023, jelas Chieng Jin Ek, peruntukan sukan merupakan aspek penting dalam belanjawan ini kerana sukan memupuk nilai positif, harga diri, jati diri serta gaya hidup yang lebih sihat.  

Tambahnya, kerajaan Sarawak menyasarkan untuk melahirkan lapan atlet Olimpik Sarawak menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Sarawak kuasa sukan negara pada masa hadapan. -Edisi UKAS

add comment