Batu Kitang Perlukan Sekolah Menengah Baharu

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang memohon kerajaan Sarawak membina sekolah menengah di Batu Kitang.

Lo berkata, sekolah menengah baharu perlu dibina untuk menampung populasi yang sedang bertambah di kawasan Batu Kitang dan Padawan.

“Ramai kanak-kanak di Padawan dan Batu Kitang terpaksa menempuh jarak yang jauh kerana tiada sekolah menengah di Padawan dan saya ingin mencadangkan agar sekolah menengah ini dibina di Batu Kitang.

“Saya juga menyeru agar guru-guru Sarawak diberi keutamaan untuk mengajar di semua sekolah di Sarawak selaras dengan seruan Sarawak supaya autonomi pendidikan dikembalikan kepada Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023), 2022 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Khamis.

Tambahnya, balai bomba juga perlu dibina di Padawan kerana kawasan itu belum memilikinya.

“Balai bomba yang terdekat terletak di Kuching dan masa perjalanan boleh mengambil masa yang lama jika ada kesesakan di jalan raya,” katanya lagi. -EDISI UKAS

add comment