GPS Komited Bangunkan Kawasan Luar Bandar

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022

KUCHING: Peruntukan RM4.54 bilion atau 60 peratus daripada cadangan perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2023 bukti komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus membangunkan kawasan luar bandar. 

Malah bajet itu juga menyokong Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 yang mengubah kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat Rakyat Sarawak. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Kerajaan GPS akan terus menyegerakan pembangunan di kawasan luar bandar bagi mengecilkan jurang antara bandar dan luar bandar.

“Bajet 2023 bukan sahaja pelan fiskal tetapi ia adalah asas untuk masa depan Sarawak dengan 11 teras strategik dan banyak inisiatif. 

“11 teras strategik itu tersusun dengan baik dengan banyak inisiatif pembangunan untuk kita laksanakan terutamanya projek berjiwa rakyat seperti Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan RM420 juta, Projek Rakyat RM500 juta dan projek khas RM237 juta, Projek Kecil Luar Bandar (MRP),” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian dalam perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis. 

Jelas Wilson lagi, kesan projek-projek ini adalah tinggi dan beliau memohon kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana untuk tiga projek ini.-EDISI UKAS 

add comment