KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022
KUCHING: Jalan akses ke ladang lada dan ladang kelapa sawit di Meluan perlu dinaik taraf untuk memudahkan petani.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat Jubin, Meluan merupakan pengeluar lada dan pekebun kecil kelapa sawit yang utama, tetapi jalan raya untuk kawasan-kawasan ini mempunyai akses yang lemah.
“Dana Pembangunan Jalan Ladang Khas harus diberikan bukan sahaja kepada Meluan tetapi kepada seluruh Sarawak.
“Saya ingin mencadangkan sebanyak RM5 juta dana diberikan setiap tahun untuk memperbaiki jalan akses kawasan tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Tambahnya, harga input ladang telah meningkat walaupun harga komoditi, lada dan kelapa sawit tidak menggalakan.
Justeru, beliau merayu kepada Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) supaya memberi perhatian serius kepada isu ini.
“Projek berteraskan rakyat mesti diberi keutamaan dan penyampaian dipercepatkan oleh pihak pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR),” jelasnya lagi. -EDISI UKAS