KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022
KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak akan mempertimbangkan pembinaan prasarana sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan tertakhluk kepada peruntukan dan keperluan semasa.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan 1 Dato Gerald Rentap Jabu berkata, pihak kementeriannya mempunyai perancangan untuk memastikan setiap daerah dilengkapi dengan kemudahan sukan yang akan memanfaatkan belia dan masyarakat setempat dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat.
Bagi kawasan Stakan katanya, ia mempunyai kesukaran mendapatkan tanah mahupun lapangan untuk melaksanakan pembangunan memandangkan kedudukannya berada di pinggir bandar.
Sehubungan itu, beliau meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim untuk mengemukakan cadangan kepada kementeriannya untuk penyeliaan dan pertimbangan yang sewajarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Hamzah dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 disini pada Khamis.
Tambah Dato Gerald lagi, setakat ini antara fasiliti sukan yang terdapat di Samarahan adalah Stadium Terbuka Kota Samarahan, Stadium Tertutup Kota Samarahan dan Kolam Renang Kota Samarahan.
“Kita memandang berat kepada pembangunan sukan dan memastikan aktiviti-aktiviti sukan dijalankan.
“Kita telah melaksanakan program pembangunan belia, sukan dan keusahawan di kawasan luar bandar di seluruh Sarawak.
“Kementerian kami juga sentiasa melihat aktiviti atau program yang boleh memberi faedah kepada pengurusan bakat belia,”ujarnya. -Edisi UKAS