Pertanian Komersial Langkah Tepat Kerajaan Mengubah Kepada Teknologi Pertanian Baharu

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memperkasakan pertanian komersial menggunakan teknologi baharu yang mampu menjana lebih pendapatan kepada para petani seperti sistem fertigasi dan hidroponik.

Bagi tujuan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang berkata, kerajaan telah mengenalpasti tapak cadangan Pusat Latihan Bersepadu Pertanian di Nanga Mujong di Kapit dan diluluskan oleh SPA. 

“Saya berharap kerajaan dapat memulakan pembinaan Pusat Latihan Pertanian ini pada tahun hadapan.  

“Saya juga ingin meminta kerajaan mewujudkan Taman makanan kekal di kawasan Dewan Undangan Negri (DUN) Pelagus bagi mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan dan menyediakan pendapatan yang mampan kepada para peserta,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian dalam perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis. 

Selain itu, beliau juga meminta lebih kuota daripada tahun sebelumnya untuk pekebun getah di daerah Kapit dan Bukit Mabong melalui Pertanian Daerah 2022. 

Tambah Wilson lagi, beliau menyokong penuh inisiatif Kerajaan untuk menerajui Ekonomi Digital bagi mengoptimumkan potensi teknologi digital dan pendigitalan yang mengubah sektor ekonomi utama termasuk pertanian, pembuatan, pelancongan, e-dagang, perkhidmatan dan kerajaan digital.-EDISI UKAS 

add comment