KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah hadir ke Raptai Penuh Majlis Perasmian Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) dan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 SABATI bagi meninjau persiapan terakhir program tersebut di Jalan Diplomatik pada malam Khamis.
Beliau turut disertai isterinya yang juga Presiden SABATI, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Majlis tersebut bakal disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 26 November ini.
Antara pengisian program termasuk ucapan oleh Premier Sarawak serta Puan Sri Datuk Amar Juma’ani selain tayangan montaj khas berkaitan sejarah dan aktiviti SABATI.
Sebagai badan amal yang aktif menjalankan aktiviti kebajikan di seluruh Sarawak semenjak penubuhannya pada tahun 1982, satu lagi sejarah dilakar untuk badan amal tersebut dengan ia kini memiliki bangunan sendiri iaitu Wisma SABATI.
Antara yang hadir sama meninjau persiapan terakhir itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki serta Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Datu Azlan Ali Badri. -Edisi UKAS