RM80 Juta Dana Kerajaan Sarawak Baiki Rumah Daif Di Kabong

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan dana sebanyak RM80 Juta untuk membaiki rumah daif rakyat di kawasan DUN Kabong menjelang 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, sebanyak 251 penerima telah dan bakal menerima manfaat projek ini sehingga penerima projek untuk fasa 1 tahun 2022.

Dalam pada itu, beliau berkata DUN Kabong memerlukan perhatian penuh daripada Kerajaan Sarawak untuk menggiatkan aktiviti pembangunan di kawasan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika membahas dalam persidangan hari keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini pada Khamis.

Sementara itu, beliau berkata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mengetengahkan 11 teras strategik yang akan menjadikan Sarawak lebih selamat, makmur dan menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2023.

Mengulas lanjut, Mohd Chee berkata, Kerajaan Sarawak juga memeperuntukkan sebanyak RM90 juta pada Belanjawan Sarawak 2023 untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) untuk memiliki rumah menerusi inisiatif Skim Bantuan Rumah Panjang serta Skim Deposit Perumahan dan bantuan bayaran balik (HDRAS).

Jelasnya, beliau turut meminta Kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik di kawasan DUN Kabong untuk merealisasikan impian kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan Sederhana (M40) di kawasan tersebut.

Dalam perbahasan sama, beliau turut mengutarakan beberapa masalah yang dihadapi di kawasan Kabong.

Antaranya adalah masalah Ban Pecah di Empayang, hakisan di beberapa lokasi sepanjang Sungai Seblak, ancaman pukat tunda kepada nelayan pesisir pantai, pembersihan parit kiri dan kanan Jalan Nyabor ke Kabong dan pembinaan balai bomba untuk Kabong.

Dalam sesi perbahasan itu, beliau turut mencadangkan agar Kerajaan Sarawak memberi perhatian khusus kepada Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi kawasan tersebut.

“Ini adalah kerana Kabong mempunyai potensi dibangunkan sebagai industri desa berasaskan produk hasil tani seperti daripada rumbia, pokok apong (nipah) dan lain-lain hasil tani yang masih lagi murah dari segi bahan mentah, bertahan lama dan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Saya mencadangkan kerajaan membina satu pusat pengeluaran untuk menjenama dan memasarkan produk yang pelbagai itu,” katanya. EDISI UKAS

add comment