Sarawak Kekalkan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Rasmi Tambahan

KHAMIS, 24 NOVEMBER 2022

SIBU: Kerajaan Sarawak menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan mengekalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tambahan yang boleh digunakan untuk komunikasi.

Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Azmi Bujang berkata, selain perkembangan teknologi canggih dan Revolusi Industri 4.0, penguasaan Bahasa Inggeris juga amat penting kerana kerajaan Sarawak mengiktiraf kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, lingua franca untuk perdagangan global.

Jelasnya, Premier Sarawak berpendirian teguh dengan keputusannya kerana penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak dijamin oleh Perkara 161(3) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda di Sarawak.

“Adalah penting untuk tidak melupakan bahasa warisan kita dan berbangga dengan identiti kita sebagai rakyat Sarawak, tetapi pada masa yang sama penting untuk Sarawak terus menggunakan bahasa Inggeris ketika kita memasuki era ekonomi digital, sekular, dan hidrogen.

“Itulah sebabnya kami berjuang untuk Program Dwi Bahasa (DLP) Sarawak. Dengan DLP Sarawak, sekolah kami memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kami yakin DLP Sarawak akan membuahkan hasil. Program ini dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepakaran yang mengetahui keperluan masa depan,” katanya dalam Majlis Penutupan Second International Conference On Education Transformation (2nd i-CET) 2022, di Hotel Kingwood, Sibu pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menyatakan DLP penting bagi Sarawak untuk mendapatkan akses pelajar kepada maklumat dalam bidang sains, matematik dan pengetahuan terkini tentang kemajuan teknologi di dunia dengan melengkapkan mereka dengan bahasa Inggeris sebagai kunci kepada dunia pembelajaran global.

“Dengan cara ini, Sarawak tidak akan ketinggalan dalam Revolusi Perindustrian 4.0 supaya kita dapat mencapai aspirasi dan matlamat Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya.

Program CET2022 diadakan untuk membolehkan pendidikan masa depan ditakrifkan melalui penyelidikan di samping menyediakan platform untuk berkongsi perspektif dan pendekatan inovatif bagi menerajui kepimpinan dan pengurusan pendidikan semasa pandemik.

Selain itu, ianya juga dapat merapatkan jurang dalam pengetahuan untuk peningkatan kecekapan pendidik untuk mengintegrasikan secara positif transformasi dalam pengurusan sekolah, persekitaran pembelajaran dan pendidikan semasa pandemik.

“Apa yang kita nampak sepanjang berlangsungnya persidangan kali ini adalah cetusan idea daripada pelbagai sudut terutamanya dalam dunia pendidikan.

“Para pembentang telah membincangkan banyak isu yang berlaku pada masa kini, manakala pertandingan inovasi & PBL pula menjurus kepada daya saing dalam dunia pendidikan.

“Semua ini amat penting kepada kita dalam menempuhi setiap cabaran. Kita sentiasa berganding bahu untuk mencari satu jalan penyelesaian yang memberi impak positif kepada semua,” katanya.

Turut hadir Timbalan Rektor Pusat Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Dr. Mohd Nasruddin Basar, Pengarah IPG Kampus Rajang Dr. Abang Ismail Abang Julhi dan Timbalan Pengarah IPG Kampus Rajang Salahuddin Mohamed Nor.-EDISI UKAS

add comment