JKM Limbang & JPBB Limbang Agih Bantuan Bekalan Makanan Kepada Penduduk Terjejas Banjir

JUMAAT, 25 NOVEMBER 2022

LIMBANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Limbang dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang telah mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada mangsa yang terjejas akibat insiden banjir yang berlaku pada 14 hingga 19 November lalu.

Antara kawasan terjejas ialah Kampung Ukong, Tanjong Riman, Tanjong Ungar, Rh. Lucy, Kampung Bukit Batu dan Kampung Bukit Gudang Kawasan Jalan Batu Danau, Kampung Ranggu, Pandak, Medait, Pengkalan Jawa, Pengkalan Madang, Buluh Baloi dan Lubok Bidai. 

Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Limbang Wan Hasif Wan Jamari, bantuan bekalan makanan ini bagi membantu meringankan beban mangsa yang telah terjejas. 

“Setakat 23 November, sebanyak 1,914 pek bantuan bekalan makanan telah diagihkan melibatkan 15 buah kampung. 

“Manakala, bagi fasa ke 2 akan dihantar pada hari ini (Khamis) melibatkan 747 pek bagi 6 buah kampung,” katanya pada Khamis. 

Turut serta dalam misi penyerahan bantuan makanan ini ialah jabatan dan agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Daerah Limbang (APM), Jabatan Imigresen Limbang serta sukarelawan JKM Limbang.-EDISI UKAS

add comment