JUMAAT, 25 NOVEMBER 2022
KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) telah merangka beberapa strategi dan inisiatif untuk menjadikan Miri sebagai hab makanan untuk mengeksport dan memasarkan hasil makanan dari wilayah utara Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, inisiatif berkenaan termasuk pembangunan taman agro, pengeluaran makanan serta rantaian bekalan agromakanan.
“Pihak kementerian telah mewujudkan beberapa strategi dan inisiatif iaitu membangunkan taman agro dan mengembangkan zon pengeluaran makanan kekal untuk menghasilkan tanaman bernilai tinggi.
“Selain itu, melaksanakan aktiviti pertanian berskala komersial melalui model perkongsian awam-swasta dan komuniti yang menggalakkan kontrak perladangan dan pemasaran termasuk mengukuhkan dan membangunkan rantaian bekalan agromakanan yang lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, pada Jumaat.
Datuk Dr Abdul Rahman menambah, konsep pertanian bandar seperti fertigasi dan hidroponik telah dikenal pasti sebagai aktiviti pertanian yang berpotensi memandangkan kawasan Pujut terletak di pusat bandar Miri. -EDISI UKAS