Maritim Malaysia Tahan Dua Kapal Nelayan Tempatan

SABTU, 26 NOVEMBER 2022

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menahankan dua kapal nelayan tempatan disyaki menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata penahanan ini dibuat semasa aset Zon Maritim Bintulu melakukan rondaan rutin dan telah mengesan dua kapal dalam keadaan mencurigakan.

“Penahanan pertama dilakukan pada 22 November pada jarak lebih kurang lapan batu nautika dari Kuala Balingian manakala penahanan kedua pula dilakukan pada 24 November pada jarak lebih kurang tujuh batu nautika dari Sungai Likau,” jelasnya.

Hasil pemeriksaan mendapati dua kapal tersebut dikendalikan oleh warga Indonesia berumur dalam lingkungan 24 hingga 68 tahun dan semua kru mempunyai pasport tetapi tidak mempunyai permit untuk bekerja di atas kapal nelayan daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Maritim Malaysia telah menyita dua kapal tersebut yang akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana menggaji pekerja asing tanpa kebenaran yang boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Tambahnya, kru yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang telah ditetapkan yang mana boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) Akta yang sama jika disabitkan bersalah denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut serta mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. -EDISI UKAS

add comment