AHAD, 27 NOVEMBER 2022
KUCHING: Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) menjadi bukti usaha gigih dan komitmen tinggi ditunjukkan oleh warga SABATI selama 40 tahun.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan adanya bangunan itu, warga SABATI kini memiliki tempat yang kondusif untuk berkumpul, merangka dan meneruskan komitmen dalam kerja-kerja amal seperti yang dilakukan selama ini.
“Ini adalah hasil kerjasama yang padu Presiden-Presiden dan ahli-ahlinya yang sungguh komited dengan tugasan dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Usahasama dalam meneruskan kepimpinan SABATI iaitu Yang Amat Berbahagia Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Yang Berbahagia Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu dan Datuk Amar Jamilah Anu amatlah dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Wisma SABATI dan ulangtahun ke-40 SABATI yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib di sini pada Sabtu.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, Wisma SABATI itu boleh menjadi tapak integrasi untuk menyemarak dan memperbanyakkan detik-detik perpaduan dalam kalangan komuniti, khususnya dalam menyampaikan sumbangan amal di setiap pelusuk Sarawak.
Beliau juga percaya dengan kerjasama yang kukuh antara warga SABATI, ia akan dapat memudahkan segala usaha dalam mengerakkan bantuan-bantuan amal secara holistik bukan sahaja di dalam Sarawak malah ke Semenanjung Malaysia.
Premier Sarawak memberitahu, bangunan Wisma SABATI itu dilengkapi dengan dewan serbaguna bagi mengadakan suatu majlis dengan kapasiti sehingga 500 tetamu serta boleh memuatkan empat gelanggang badminton dan auditorium yang memiliki 270 tempat duduk.
Sementara itu, dalam majlis sama, isteri Premier Sarawak yang juga Presiden SABATI Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah menyempurnakan penyerahan sumbangan berjumlah RM275,000 kepada 15 wakil penerima.
Antara yang turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama pasangan mereka dan dif-dif kenamaan yang lain.-Edisi UKAS