Majlis Makan Tahun Kedayan Perdana Kebanggaan Kaum Kedayan Di Sarawak

ISNIN, 28 NOVEMBER 2022

LAWAS: Penganjuran Majlis Makan Tahun Kedayan Perdana Kali ke 6 merupakan suatu yang harus dibanggakan masyarakat Kedayan. 

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus, ini adalah salah satu acara yang memperlihatkan budaya dan adat resam kaum Kedayan yang harus dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang. 

“Ini patut kita kekalkan setiap tahun dan sangat dialu-alukan.

“Kita perlu mempamerkan kepada dunia tentang adat resam kaum Kedayan yang ada di dunia ini.

“Dunia semakin berubah dan kita juga perlu ikut perubahan dan perkembangan kemajuan semasa namun jangan kita lupa adat resam kita,” katanya. 

Beliau berucap dalam merasmikan Majlis Makan Tahun Kedayan Perdana Kali ke 6 di Taman Awam di sini pada Ahad. 

Dalam pada itu, Datuk Rosey juga mahu golongan muda kaum Kedayan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dunia masa kini yang mana potensi dan kemahiran yang ada harus diketengahkan. 

Sepanjang tiga hari diadakan pelbagai acara telah diadakan antaranya, persembahan Seni Silat Rumpun Silat Sarawak (RSS), persembahan Jipin dari Kumpulan Kebudayaan Kampung Bukit Puan Ulu Merapok, Temu Hidang Kapala Ajiki, Anugerah Patuhaan Sihat, Anugerah Tokoh Pelajar Generasi Kedayan Ke Luar Negara dan penyampaian hadiah Pertandingan Taatak Kedayan serta jamuan makan tengahari. 

Turut sama hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindurim merangkap Presiden Persatuan Kedayan Sabah Datuk Dr Yusuf Yacob, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Lawas  Ladin Atok, Pengerusi Persatuan Kedayan Lawas Haris Majid dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).-EDISI UKAS

add comment