ISNIN, 28 NOVEMBER 2022
SIBURAN: Penganjuran pesta seni budaya adalah penting sebagai platform mengetengahkan budaya tempatan kepada masyarakat terutamanya generasi muda.
Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari memberitahu, Pesta Seni Budaya Tapah khasnya dapat memperkenal serta mengangkat seni budaya penduduk setempat termasuk kaum Bidayuh dan juga kaum Cina.
“Warisan seni budaya merupakan satu tradisi yang perlu diamalkan, jika tidak, ia akan pupus secara perlahan.
“Oleh itu, saya menzahirkan ucapan tahniah kepada penganjur atas pelaksanaan program sebegini. Semoga pesta ini akan diteruskan pada masa akan datang agar anak-anak muda dapat mengambil tahu serta mengenali seni budaya masing-masing,” katanya dalam Majlis Penangguhan Pesta Seni Budaya Tapah di Dewan Masyarakat Tapah pada malam Ahad.
Program anjuran bersama Pertubuhan Masyarakat Tapah Kuching dan Persatuan Bisapug Sarawak itu telah berlangsung selama dua hari bermula 26 November lepas.
Ia bertujuan memupuk dan menggiatkan semula minat serta penglibatan penduduk tempatan termasuk golongan pelajar dalam aktiviti seni tadisi di samping mengeratkan hubungan muhibah antara masyarakat pelbagai bangsa.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang pesta itu adalah pertandingan-pertandingan tarian tradisional, seni kaligrafi dan lukisan, jualan kraftangan serta persembahan artis tempatan.
Sementara itu, Onak Tatih Culture Group dari Kampung Tematu telah dinobatkan sebagai juara bagi pertandingan tarian tradisional manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Anak Patung Kertas dari Kampung Tanah Putih dan Benuk Culture Group dari Kampung Benuk.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Bisapug Sarawak, Nico Paduk, Presiden Pertubuhan Masyarakat Tapah Kuching, Chong Tak Sze, serta Pengerusi-Pengerusi Pengelola, Kaunselor Chua Tok Siew dan Kaunselor Hyginus Kelvin Akeu. -Edisi UKAS