ISNIN, 28 NOVEMBER 2022
MIRI: Majlis Kraf Sarawak dan Batik Linut Sdn Bhd akan menganjurkan Proudly Sarawak: Best of Sarawak Crafts yang akan berlangsung di Bintang Mega Mall (West Court) dari 2 hingga 11 Disember ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk menarik bukan sahaja vendor dari Sarawak tetapi juga rantau ini.
Jelas beliau lagi, pada tahun ini sebanyak 20 vendor yang kebanyakkannya dari utara Sarawak mengambil bahagian.
“Ini menandakan permulaan usaha kami untuk menjadikan Miri sebagai hab Kraf Terbaik Sarawak untuk wilayah utara.
“Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan kraf terkenal Sarawak seperti manik, tempayan parang, Bakul Orang Ulu, beg Penan dan banyak lagi berasal dari kawasan utara Sarawak,” katanya dalam sidang media “Best Of Sarawak Craft” di Hotel Meritz, M Bar di sini pada Ahad.
Tambah Datuk Sebastian lagi, bagi penganjuran program yang sama pada tahu depan Majlis Kraf Sarawak juga bercadang untuk menggandakan bilangan vendor untuk menyertai acara ini, kepada 45 vendor.
“Saya percaya acara ini akan meningkatkan lagi aktiviti dan tarikan pelancongan Greater Miri,” tambahnya.
Beliau percaya program ini sebagai permulaan untuk menjadikan Bandar Miri – sebagai hab untuk Kraf Sarawak yang terbaik dan kemudiannya kraf BIMP EAGA untuk Borneo.
Hadir sama Penolong Pegawai Tadbir, Majlis Kraf Sarawak Esther Luat dan Pengurus Urusan Batik Linut Sdn Bhd Diana Rose.-EDISI UKAS