Surau Al Muqarrabin Kampung Nauran Muncul Juara Pertandingan Badminton Masjid & Surau Daerah Limbang Tahun 2022

ISNIN, 28 NOVEMBER 2022

LIMBANG: Pasukan Surau Al Muqarrabin Kampung Nauran muncul juara dalam Pertandingan Badminton Masjid dan Surau Daerah Limbang Tahun 2022 yang berjaya menarik sebanyak 23 penyertaan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau Daerah Limbang. 

Naib juara disandang Ar-Raudhah Taman Desa Pabahanan dan tempat ketiga bersama Surau Setia Muafakat Kampung Buangsiol dan Pasukan Surau ItQan RPR Rangau.

Ini merupakan edisi kelima diadakan sejak kali pertama penganjurannya pada tahun 2017, 2018, 2019, 2020 dan 2022. 

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail akan mengkaji dan menambah baik aktiviti pada tahun ini dan akan datang agar ia memberi manfaat kepada masyarakat di daerah Limbang ini. 

“Kita akan mengkaji dan menambah baik aktiviti-aktiviti yang telah diadakan pada tahun ini dan seterusnya merancang aktiviti Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang pada tahun depan termasuk menyediakan peruntukannya,” katanya.

Beliau semasa berucap menangguhkan Pertandingan Badminton Masjid dan Surau Daerah Limbang Tahun 2022 di Dewan Kampung Pabahanan di sini pada Ahad. 

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi penganjuran pada tahun depan dengan membuka lebih banyak penyertaan di kalangan wanita dan agensi kerajaan. 

Hadir sama Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Awang Abdul Rahim  Awang Rosley, Penghulu Sahat Bagol dan Ketua Kampung Pabahanan Latip Sabli. -EDISI UKAS

add comment