104 Peserta Dari 8 Buah Negara Sertai Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sarawak Ke-22 Piala Perdana Sarawak 2022

SELASA, 29 NOVEMBER 2022

MIRI: Seramai 58 lelaki dan 46 perempuan dari lapan buah negara termasuk Malaysia akan bersaing dalam Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sarawak Ke-22 Piala Perdana Sarawak 2022 yang akan berlangsung di Eastwood Valley Golf and Country Club di sini pada bermula Selasa. 

Menerusi kenyataan media Persatuan Golf Sarawak pada Isnin, kejohanan ini diadakan kembali selepas tidak diadakan selama dua tahun ekoran pandemik COVID-19. 

“Acara tahun ini dibuka kepada pemain golf amatur remaja tempatan dan antarabangsa yang bertanding dalam empat kategori berbeza iaitu kategori A (umur 15 hingga 17 tahun), B (13 hingga 14 tahun), C (12 tahun ke bawah) dan Khas kategori (18 hingga 21 tahun),” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, jumlah penyertaan yang diterima untuk acara tahun ini adalah dari Pakistan, India, Thailand, Vietnam, Filipina, Cina Taipeh, Singapura, Indonesia, Brunei Darulsalam, tuan rumah Malaysia yang diwakili oleh junior dari Sabah dan Sarawak. 

Sambutan memberangsangkan bagi kategori 12 tahun ke bawah telah menunjukkan bilangan pemain golf muda baharu yang bertanding buat pertama kali di pantai Sarawak terutamanya di Miri.

Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) juga telah mencalonkan empat pemain remaja mereka untuk bertanding dalam kategori Khas Perempuan, A dan C dalam acara tiga hari itu.

Acara tahun ini disokong Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan diluluskan Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Persatuan Golf Amatur Dunia manakala Eastwood Valley Golf and Country Club adalah penaja tempat rasmi kejohanan. -EDISI UKAS

add comment