363 Sekolah Daif Di Sarawak Telah Siap Dibaik Pulih – Datuk Roland Sagah

SELASA, 29 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat akan terus membaik pulih sekolah daif di negeri ini. 

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn, setakat ini sebanyak 363 sekolah daif telah dibaik pulih dan selebihnya masih dalam proses pembinaan dan perancangan kawasan. 

“Kita akan membaiki dan membaik pulih sekolah daif di negeri ini. Sehingga kini, kita telah berjaya menyiapkan 363 sekolah daif dan selebihnya masih dalam peringkat pembinaan serta perancangan,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan penggulungan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, ketika ditanya jumlah sekolah daif yang dibaik pulih atau dibina, beliau memberitahu ketika ini ada lebih 600 buah sekolah semuanya di mana ada yang masih di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR). 

“Ada lebih 600 buah sekolah daif yang masih dalam ‘drawing board’ Jabatan Kerja Raya (JKR) dan belum ditender. 

“Ini kerana mereka (JKR) sedang mencari pelbagai kemudahan yang hendak dibaiki dan ada juga pengurusan sekolah yang memilih keputusan berpindah khususnya kawasan yang dinaiki air dan banjir. 

“Apabila keputusan untuk berpindah, banyak kerja tambahan perlu dilakukan antaranya mencari lokasi baru dan ini memerlukan penglibatan Jabatan Tanah dan Survei, dan agensi kerajaan Persekutuan lain sehingga menyebabkan kelewatan projek membina sekolah baru,” ujarnya. -EDISI UKAS 

add comment