SELASA, 29 NOVEMBER 2022
KUCHING: Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) yang terletak di Petra Jaya telah mula beroperasi secara rasmi pada 4 April 2022.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn, sekolah itu hanya dapat menerima 115 pelajar dari seluruh Sarawak untuk kohort pertama.
“Setelah dibangunkan sepenuhnya, kampus ini akan mempunyai kapasiti 500 pelajar dari Tahun 7 hingga Tahun 11 yang setara dengan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.
“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar kohort pertama,” katanya ketika membentangkan penggulungan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan kemajuan pembinaan YSISS Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Dalam pada itu, Datuk Roland memberitahu, kemajuan semasa pembinaan YSISS Kuching yang terletak di Batu 12 Kuching-Serian Road adalah pada 50.67%, dengan sasaran siap pada suku ketiga 2023.
Bagi YSISS Sibu pula, pembinaan disasarkan akan dimulakan pada suku pertama 2023, dengan tarikh sasaran siap pada Julai 2024. Kedua-dua YSISS Bintulu dan Miri kini dalam peringkat perancangan.
Mengenai Pusat Sains Sarawak, beliau memberitahu pembinaannya akan bermula pada tahun 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dengan reka bentuk dan kandungan yang interaktif. -EDISI UKAS