RM6.1 Juta Telah Diperuntukan Bagi Pembangunan Sukan Untuk OKU Tahun 2022

RABU, 30 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM6.1juta pada tahun 2022 bagi pembangunan sukan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kategori Special Olympics, Paralympics dan Deaflympics yang merangkumi pemilihan latihan, penyertaan, elaun dan insentif. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada 250 atlet, seramai 36 atlet telah dipilih untuk mewakili Sarawak ke Special Olympic Games Malaysia yang telah berlangsung di Melaka. 

“Mereka telah memenangi 22 emas, 22 perak, dan 12 gangsa. 

“Melalui kejohanan ini, 3atlet telah dipilih untuk mewakili negara ke Special Olympic World Games 2023 di Berlin, Germany pada Jun 2023,” katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Rabu.

Tambah Dato Sri Fatimah lagi, Pasukan Bola Sepak Special Olympic Sarawak yang mewakili Negara telah menjadi Naib Juara 9th Asean Special Olympics South East Asia 5-A- Side Unified Football Tournament 2022 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 12 hingga 16 November 2022. 

Sementara itu, di Commonwealth Games 2022 di Birmingham United Kingdom, atlet paralimpik Bonnie Bunyau Gustin telah berjaya merangkul pingat emas dan mencipta rekod baharu dalam acara powerlifting kategori 55 kilogram. 

Begitu juga di Asean Para Games 2022, yang berlangsung di Surakarta, Indonesia di mana, tujuh orang atlet paralimpik Sarawak yang mewakili Malaysia telah menyumbang lapan pingat emas. 

Ujar beliau lagi, kontinjen Para SUKMA Sarawak telah menyertai Kejohanan Para SUKMA ke-20 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 29 Oktober hingga 8 November 2022 menyaksikan Sarawak menduduki tempat kedua. 

“Penyertaan seramai 148 orangatlet dalam 10 acara telah berjaya mengutip sebanyak 146 pingat yang merangkumi 50 emas, 47 perak dan 49 gangsa. Selain itu, mereka telah mencipta sembilan rekod baharu,” ujarnya. 

Dalam pada itu, dua orang atlet OKU dari kalangan mereka yang bermasalah pendengaran dari Sarawak (Siw Sing Hie dan Siong Mui Hong), telah dipilih untuk menyertai pasukan Malaysia yang telah menjadi johan Bowling Competitions of the 24th Summer Deaflympics, di Kuala Lumpur. -EDISI UKAS

add comment