RABU, 30 NOVEMBER 2022
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) untuk memastikan kekerapan penerbangan di negeri ini ditingkatkan bagi menyokong pemulihan ekonomi dan pembukaan semula sektor pelancongan.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, kekerapan penerbangan telah diluluskan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) kepada 587 penerbangan seminggu ke Sarawak, dan hanya 408 penerbangan sedang beroperasi oleh syarikat penerbangan itu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, kekerapan penerbangan antarabangsa dan domestik masing-masing adalah sebanyak 35 dan 373.
“Pada masa ini, kami mempunyai tujuh penerbangan seminggu dari Singapura ke Kuching dan tiga penerbangan seminggu dari Singapura ke Miri melalui Scoot Airlines.
“Selain itu, AirAsia telah memulakan penerbangan Singapura-Kuching 11 kali seminggu, dan Singapura-Miri lima kali seminggu.
“AirAsia juga akan melancarkan penerbangan Singapura ke Sibu empat kali seminggu bermula 16 Disember 2022.
“Manakala, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA) meneruskan penerbangannya ke Kuching dua kali seminggu bermula 1 Mei 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim berkata, bagi penerbangan domestik, Firefly telah memulakan laluan Pulau Pinang-Kuching sebanyak 14 kali seminggu dengan penerbangan sulung pada 11 April 2022.
Sementara itu jelasnya, AirAsia telah menambah kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching dan Miri dengan 63 penerbangan dan 21 penerbangan seminggu.
“Manakala Kota Kinabalu ke Kuching dengan tujuh penerbangan seminggu dan juga Kota Bharu ke Kuching tiga minggu penerbangan. MAS juga terbang dari Johor Bharu ke Kuching 3 kali seminggu,”katanya.-EDISI UKAS