Kerajaan Sarawak Serius Dalam Memastikan Dana Kekayaan Berdaulat Diurus Dengan Lancar & Telus

KHAMIS, 1 DISEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membuat pemantauan ketat terhadap pelaksanaan dan tadbir urus dana kekayaan berdaulat dan mengambil sebarang tindakan untuk memastikan pengurusan dana tersebut berjalan lancar dan telus.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, penalti ketat serta berat akan dikuatkuasakan ke atas ahli Lembaga Penjaga (Board of Guardian) sekiranya mereka didapati bersalah berkaitan penyelewengan dana atau bertindak secara melulu dan cuai dalam melaksanakan tugas terhadap lembaga dan juga pihak berkepentingan.

“Saya ingin menekankan bahawa Ordinan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak 2022 (Ordinan SSWFF) dikuatkuasakan seiring dengan undang-undang lain.

“Penalti di bawah Ordinan SSWFF bertujuan menghukum mereka yang cuai dalam pengurusan dana serta ketidakpatuhan mana-mana keperluan di bawah ordinan itu.

“Untuk kesalahan serius yang lain, pesalah bukan sahaja akan dihukum di bawah ordinan itu, malah, mereka juga tertakluk kepada undang-undang lain berkaitan kesalahan jenayah seperti Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694),” jelasnya ketika sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 Pada Khamis.

Premier Sarawak turut menegaskan, Kerajaan Sarawak amat serius dalam menguruskan dana ini mengikut Prinsip Santiago serta untuk menekankan ketelusan dan tadbir urus dana ini dengan baik. -Edisi UKAS

add comment