Kerajaan Sarawak Terima Peruntukan HoB Dari Kerajaan Persekutuan Berjumlah RM50.7 juta

KHAMIS, 1 DISEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menerima peruntukan bagi melaksanakan aktiviti dan program Heart Of Borneo Initiative (HoB) daripada Kerajaan Persekutuan pada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9) sehingga RMKe-12 berjumlah RM50.7 juta.

Sejak dilaksanakan, Kerajaan Sarawak telah memperluaskan kawasan HoB ini daripada 2.1 juta hektar pada tahun 2009 kepada 2.7 juta hektar pada tahun 2018 yang mengunjur dari Lundu ke Lawas. 

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, daripada jumlah tersebut, seluas 554,275 hektar merupakan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA). 

“Projek HoB merupakan inisiatif antara tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam seperti yang terkandung dalam Deklarasi Heart of Borneo, Bali yang ditandatangani pada 12 Februari 2007.

“Kerjasama rentas sempadan HoB ini telah menyumbang kepada pembangunan mampan dan pengurusan biodiversiti yang melibatkan kawasan persempadanan tiga negara melalui pelaksanaan aktiviti dan program berdasarkan lima teras utama,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II semasa hari terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.  

Jelasnya lagi, secara tidak langsung inisiatif tersebut telah menyumbang kepada peningkatan jaringan koridor hidupan liar di kawasan HoB yang penting dalam usaha pemuliharaan flora dan fauna. 

“Pihak kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan lagi kawasan HoB ini.

“Sebanyak sembilan siri ekspedisi saintifik telah dilaksanakan di bawah inisiatif HoB yang melibatkan penyelidik dari dalam dan luar negara,” ujarnya. 

Tambahnya, pada tahun ini, Ekspedisi Saintifik Long Mekaba, Ulu Baram telah diadakan pada 12 hingga 25 September 2022. 

“Hasil daripada ekspedisi ini ia telah dikongsikan melalui seminar dan persidangan serta didokumentasikan dalam beberapa penerbitan seperti buku coffee table, monograf dan kertas prosiding,” jelasnya.-EDISI UKAS 

add comment