Lembaga Pelabuhan Miri Dipilih Sebagai Perintis Kajian Pelan Induk Pelabuhan, Perkasa Pembangunan Pelabuhan Sarawak

KHAMIS, 1 DISEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal melaksanakan kajian pelan induk pelabuhan pada suku pertama tahun 2023 dengan Lembaga Pelabuhan Miri dipilih sebagai perintis untuk inisiatif ini.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, kajian pelan induk pelabuhan ini bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelabuhan, menaik taraf kemudahan pelabuhan sedia ada serta meneroka peluang perniagaan baharu.

“Kajian ini juga merangkumi kemungkinan menangani isu saluran cetek di Kuala Baram,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak menekankan agenda pembangunan pelabuhan sebagai menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak ke arah mencapai status negeri maju pada masa depan.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak itu berkata, lembaga-lembaga pelabuhan di negeri ini telah mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 17.01 juta tan setakat suku ketiga tahun 2022.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 8.8 peratus berbanding 15.63 juta tan yang dicatatkan untuk tempoh sama pada tahun 2021,” jelasnya. -Edisi UKAS

add comment