Penjawat Awam Sarawak Terima Insentif Khas Sebulan Setengah Gaji, Minima RM2,000, Tidak Ketinggalan RM500 Bagi Penjawat Awam Persekutuan Di Sarawak

KHAMIS, 1 DISEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan khabar gembira kepada penjawat awam negeri ini dengan bayaran insentif khas sebulan setengah gaji pokok atau minima RM2,000.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, insentif khas itu akan dibayar sebelum penghujung tahun 2022.

Menurutnya, penjawat awam persekutuan yang bertugas di negeri ini turut menerima insentif khas sebanyak RM500.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memutuskan untuk memberi bayaran insentif khas bersamaan satu bulan setengah gaji pokok atau minima RM2,000 kepada penjawat awam di mana ia akan dibayar sebelum penghujung tahun ini.

“Kita juga akan membayar insentif khas sebanyak RM500 kepada lebih kurang 137,000 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak,” jelasnya semasa sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, insentif tersebut diberikan sebagai menghargai sumbangan dan komitmen penjawat awam Sarawak dan Persekutuan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara professional sepanjang tahun ini. -Edisi UKAS

add comment