PETROS Bakal Laksana Dua Projek Dalam Masa Terdekat

KHAMIS, 1 DISEMBER 2022

KUCHING: Pelan Hala Tuju Gas PETROS Sarawak akan mengubah landskap sosio-ekonomi Sarawak menjelang 2030 melalui kewujudan empat hab gas di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia bakal memberikan perkhidmatan kepada seluruh Sarawak yang serupa dengan model “Hub & Spoke” bagi memberikan akses seluruh negeri kepada bekalan gas yang mencukupi dan berpatutan serta tenaga yang bersih.

Sehubungan itu jelasnya, PETROS akan melaksanakan dua projek dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak iaitu Hab Miri dan Hab Samalaju.

“Dalam tempoh terdekat, PETROS akan melaksanakan dua projek sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak iaitu projek pertama adalah Hab Miri – Loji Tenaga 400MW untuk memastikan Keselamatan Tenaga Sarawak utara.

“Projek kedua adalah Hab Samalaju – PETROS akan memasang saluran paip gas dan membina loji janakuasa dengan Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Ini penting untuk melengkapkan Samalaju sebagai zon industri berat dan memastikan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada industri berat di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Premier Sarawak menambah, dua projek berkenaan memerlukan pelaburan sekitar RM6 bilion dan sepanjang 10 tahun, jumlah pelaburan yang diunjurkan melalui empat hab adalah RM65 bilion termasuk industri nilai tambah hiliran bagi membolehkan akses gas di luar Miri dan Bintulu hingga ke seluruh bahagian di Sarawak.

Katanya lagi, PETROS dan agensi yang berkaitan sedang giat mempromosikan peluang sedemikian kepada pelabur hiliran. -EDISI UKAS

add comment