Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu Dilaksana Sejak 2010

KHAMIS, 1 DISEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melaksanakan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu bermula sejak tahun 2010 bagi memastikan pengukuran tanah NCR dilaksanakan secara lebih efisien dan efektif.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sehingga 31 Oktober 2022, kira-kira 1,060,811 hektar atau 2,621,264 ekar telah berjaya diukur secara perimeter dan seluas lebih kurang 813,587 hektar atau 2,010,373 ekar daripadanya telah pun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, pewartaan bagi baki kawasan yang telah diukur secara perimeter akan dilaksanakan secara berterusan.

“Sejak tahun 2017, fokus pengukuran juga ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut.

“Sehingga 31 Oktober 2022, sebanyak 58,606 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 74,181 hektar atau 183,301 ekar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan, menandakan sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Khamis.

Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata pelaksanaan program Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) sejak Rancangan Malaysia Ke-4 merupakan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap rakyat berpendapatan rendah.

Katanya, di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan peruntukan Projek Rakyat sehingga 30 November 2022, sebanyak 58 projek SPK dan SPS telah diluluskan yang akan menyediakan sebanyak 5,910 lot kediaman dengan kos pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM858.5 juta.

Daripada 58 projek tersebut, 12 projek telah pun siap sepenuhnya mengikut skop pembangunan dan baki 46 projek akan diteruskan sehingga penghujung Rancangan Malaysia Ke-12.

“Pada masa ini, projek-projek SPS dan SPK yang dilaksanakan adalah menggunakan spesifikasi infrastruktur yang telah ditambah baik seperti jalan raya yang berturap, parit konkrit dan lot-lot yang ditembok.

“Kerajaan Sarawak juga telah menetapkan bayaran premium tanah tidak melebihi RM2,500 bagi setiap lot kediaman di dalam SPS dan SPK walaupun kos penyediaan setiap lot tersebut dianggarkan dalam lingkungan RM120,000 hingga RM150,000. Ini membuktikan keprihatinan Kerajaan GPS sentiasa memberi perhatian kepada rakyat yang memerlukan bantuan.”

Menyentuh mengenai Pembaharuan Bandar, Datuk Amar Awang Tengah menjelaskan Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan meneruskan agenda meningkatkan kesejahteraan dan sosioekonomi rakyat melalui Projek Pembaharuan Bandar (Urban Renewal) di bawah RMK12 dengan siling peruntukan berjumlah RM510.5 juta.

Tambahnya, LCDA dalam RMK-12 akan meneruskan projek-projek pembangunan bandar baharu, pekan baharu dan pusat perkhidmatan di Bandar Baru Sebuyau, Samarahan; Bandar Baru Simunjan, Samarahan; Pekan Baru Kabong, Betong; Bandar Baru Daro Fasa II, Mukah; Pusat Perkhidmatan Lingga, Sri Aman; Pusat Perkhidmatan Matu, Mukah; Pusat Perkhidmatan Igan, Mukah; Pusat Perkhidmatan Matadeng, Mukah dan Pusat Perkhidmatan Ulu Merapok, Lawas.

Selain itu katanya, lapan kawasan rumah panjang berkeluasan keseluruhan 323 hektar atau 798 ekar telah diwartakan setakat 31 Oktober 2022.

Manakala tujuh lagi kawasan rumah panjang akan diselesaikan pewartaannya dalam masa terdekat. – EDISI UKAS

add comment